Utama

‘PRODUK INOVASI IKM LUMUT UNGGULI PERTANDINGAN EUREKA INNOVATION EXHIBITION INTERNATIONAL LEVEL (EIE) 2016’

IKM Lumut│18 Ogos 2016 

 

Tenaga pengajar IKM Lumut, Bahrin Buang, Mohd Akhir Abdul Wahid dan Norizwan Aziz menggondol anugerah utama ''The Best Product" di pertandingan ''Eureka Innovation Exhibition International Level (EIE) 2016''.

KULIM, 18 Ogos – Produk inovasi Sistem Guna Semula Lebihan  Air Wudhuk Bagi Kegunaan Siraman Taman dan Sistem Siraman  Mangkuk Tandas oleh tenaga pegajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut iaitu Bahrin Buang, Mohd Akhir Abdul Wahid dan Norízwan Aziz menggondol  anugerah utama THE BEST PRODUCT di pertandingan EUREKA INNOVATION EXHIBITION INTERNATIONAL LEVEL (EIE) 2016.

Diilhamkan melalui pemerhatian pada setiap kali solat jumaat yang mana pengunaan air berwuduk adalah dikadar yang maksima, ciptaan inovasi ini mampu menyumbang kepada penjimatan dan mengaplikasikan teknologi hijau melalui pembangunan sistem siraman taman dan mangkuk tandas menggunakan sumber air yang sama sekali gus mengurangkan kos pengunaan serta mengelakkan pembaziran.

Sistem ini berfungsi dengan mengumpulkan lebihan air wuduk melalui saluran khas yang akan melalui proses penapisan 4 peringkat dan seterusnya air tersebut akan dikumpulkan didalam di tangki simpanan bawah tanah dan dinyah kuman menggunakan klorin seterusnya dipam ke tangki simpanan graviti untuk diagihkan ke siraman taman dan siraman mangkuk tandas.

Menariknya, produk ini mampu mewujudkan suasana persekitaran masjid dalam taman malah membantu mengantikan bekalan air bagi tujuan siraman mangkok tandas sekiranya berlaku terputus bekalan air.

EUREKA INNOVATION EXHIBITION INTERNATIONAL LEVEL (EIE) 2016 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Ogos yang lalu di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) merupakan satu platform kumpulan penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk menampilkan kreativiti dan rekabentuk produk inovasi yang boleh dikomersilkan.

Dengan tema ‘Memacu Masa Hadapan’, pertandingan yang dipecahkan kepada enam (6) kategori ini telah menarik 255 penyertaan terdiri daripada negara Asean, Universiti, institusi teknikal dalam negara, sekolah rendah dan sekolah menengah .

Sementara itu, IKM Sungai Petani turut cemerlang apabila menggondol emas bagi Kategori Chapter D: Lain-lain (Bangunan, Pembinaan &Bahan, Sains Sosial, Kualiti dan penambahbaikkan, Bahan pengajaran dan pembelajaran) melalui ciptaan MULTI PURPOSE TROLLEY.

Produk ciptaan Basuki Ahmadi ini di rekabentuk bagi membantu dan memudahkan urusan angkut-mengangkut serta pemindahan barangan dalam kuantiti yang banyak sekali gus menjimatkan masa dan ruang malah boleh diceraikan kepada 15 kegunaan berlainan seperti boleh dijadikan dulang, tempat meletak televisyen, alatan simpanan barangan dapur dan lain-lain lagi.

Secara keseluruhannya, IKM dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) telah menghantar 25 penyertaan di bawah empat kategori sempena pertandingan ini dan berjaya menggondol dua emas, lapan perak dan lima gangsa.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang.

Paparan Facebook