Utama

‘Pelatih Kemboja Mendapat Latihan di KKTM Rembau’

Rembau│03 April 2017 

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Tn Hj Abdul Halim Abas dan juga Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal, En Mahzan bin Teh bergambar bersama pelatih dari Kemboja dan tetamu yang hadir. 

 

Rembau, 3 April – Satu Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan telah diadakan khas bagi umat Islam Kemboja hasil kolaborasi di antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan Kemboja.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Abas, kerjasama ini merupakan antara usaha MARA dalam menyahut seruan Kerajaan Malaysia yang menggalakkan kementerian dan agensi kerajaan berkolaborasi dalam merangka dan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS).

”Menerusi Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan ini, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau telah dipilih untuk melatih seramai 10 orang pelatih Islam warga Kemboja bagi pengambilan pertama untuk mengikuti latihan di sini dalam bidang Rekaan Fesyen dan Jahitan dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Beliau menerangkan pemilihan modul ini adalah berdasarkan permintaan yang tinggi dalam pasaran yang mana para peserta akan diberi tunjuk ajar dalam hal ehwal keusahawanan termasuk strategi pemasaran produk yang akan dirangka sepanjang latihan sama ada secara dalam talian mahu pun luar talian.

”Kita berharap agar program bantuan latihan teknikal kepada masyarakat Islam Kemboja ini dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk Islam di sana sekali gus membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, Masri Razali pula berkata, “JAKIM sebagai main founder kepada program ini berhasrat untuk meneruskan program tersebut selama 3 tahun dan berharap untuk mengadakan lebih banyak lagi kolaborasi dengan MARA selepas ini khususnya dalam bidang teknikal.

Program latihan ini juga merupakan titik tolak permulaan kepada kolaborasi mendatang yang mana para belia Kemboja yang telah menamatkan pengajian diharap mampu menjadi tenaga kerja mahir, separa mahir mahu pun sebagai usahawan teknikal dalam bidang reka fesyen dan jahitan bagi memenuhi industri dan keperluan kegiatan ekonomi di Kemboja,” jelasnya.

Paparan Facebook