Friday, 04 October 2019 07:36

PASUKAN ROBOTIK KKTM BALIK PULAU INGIN LAKAR REKOD TERSENDIRI DI INDIA

 

KUALA LUMPUR – Misi pasukan Robotik Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Balik Pulau yang ingin melakar kemenangan bakal diuji di pertandingan robot tempur antarabangsa yang akan berlangsung di India pada tahun 2020.

Sharizal Abd Halim, pengendali robot ciptaan pasukan robotik KKTM Balik Pulau berkongsi sejarah penubuhan dan penglibatan pensyarah dan pelajar-pelajar dalam dunia robotik.

“Pasukan ini mula ditubuhkan pada 2017 setelah mendapat jemputan daripada MARA Japan Industrial Institute (MJII) untuk menyertai MJII Robofighto Competition 2017.

“Pada awalnya pasukan kami tidak mempunyai kepakaran dalam pembuatan robot tempur, tetapi selepas daripada penyertaan pertama ini, kami memperolehi banyak ilmu dan mula mencipta robot tempur yang lebih kompetitif,” katanya.

Shahrizal turut berkongsi elemen istimewa yang terdapat pada ciptaan pasukan mereka.

“Bagi kami pasukan ini mempunyai keistimewaan dan kelainan yang tersendiri kerana lebih 90% daripada komponen robot tempur ciptaan kami adalah hasil buatan pelajar kami sendiri. Ini juga menunjukkan keunikan pasukan ini kerana kebanyakan pasukan lain yang menyertai pertandingan robot tempur hanya membeli komponen tertentu daripada syarikat Cytron Technologies,” katanya.

Lebih menarik, pasukan robotik yang terdiri daripada enam orang pensyarah dan sepuluh orang pelajar ini telah berjaya menjuarai beberapa pertandingan dalam beberapa acara yang pernah dipertandingkan.

“Alhamdulillah, sejak daripada penyertaan kami yang pertama dalam dunia pertandingan robot tempur pada tahun 2017 yang lalu, banyak pertandingan lain telah kami sertai dan juarai. Antaranya adalah Robot Combat Competition Malaysia Autoshow 2019 dan International Malaysia Combat Robot Tournament 2019,” katanya lagi.

Kejayaan yang diperoleh Pasukan Robot KKTM Balik Pulau pada kejohanan robot tempur di International Malaysia Combat Robot Tournament 2019 telah mendapat perhatian antarabangsa dan lebih membanggakan apabila mereka dijemput untuk menyertai pertandingan robot tempur di India pada tahun 2020.

Pengendali robot tempur yang diberi nama Millbot itu turut menjelaskan tumpuan pasukan pada waktu sekarang adalah untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 1 unit robot dalam jangka masa setahun, disamping untuk bersedia pada kejohanan di India pada tahun 2020.

Beliau bersama ahli pasukan yang lain iaitu Helmi Ahya Ilmudin, Mohammad Izazi Ibrahim, Mohd Rushdan Hamat, Shamsul Bahar Mohd Yunus, dan Md. Nor Irwansyah Ab. Rohim telah dijemput untuk mempamerkan hasil ciptaan robot tempur di Karnival Institusi Pendidikan MARA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Read 55 times Last modified on Monday, 07 October 2019 06:41

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search